Tuesday, November 9, 2010

Siri Kuasa Perubahan


Perkara 2
Merancang Untuk Berubah

Membuat perkara yang sama dan mengharapkan keputusan yang berbeza adalah tindakan yang gila.

Ramai orang mahu berjaya, hidup lebih baik, mendapat keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan, menjadi juara dalam perlawanan atau permainan, menjadi popular,mahukan kedudukan kewangan yang lebih baik, mahukan kejayaan dalam kerier dan sebagainya.

         Namun begitu ramai yang masih di takuk lama. Mereka gagal untuk mencapai apa yang mereka tetapkan. Azam tahun baru contohnya hanya tinggal azam yang tidak dicapai langsung apalagi untuk melihat peningkatan hasilnya. Azam tinggal azam, impian dan angan-angan tidak menjadi kenyataan.

          Semangat dan kemahuan saja belum mencukupi untuk melakukan anjakan kejayaan dalam kehidupan. Kita perlu merancang dengan strategi dan kaedah yang betul untuk mencapai matlamat yang telah kita tetapkan. Kehidupan bukanlah sesuatu yang hanya terbiar, menanti dengan kosong atau mengharap bulan jatuh ke riba.

          Semuanya perlukan perancangan, perubahan yang kecil mampu memberi perubahan yang besar untuk seluruh kehidupan. Mencari ilmu, memerhati, kecenderungan, minat dan kesungguhan adalah item-item yang sangat diperlukan untuk memulakan perubahan. Seorang pakar kecantikan berjaya didalam industri kecantikan bermula dengan minat dan kecenderungan. Seorang kontraktor binaan yang berjaya bermula dengan minat kepada kerja2 binaan. Seorang pemilik gedung fesyen berjaya kerana minatnya kepada pakaian. Seorang pemilik kilang kasut berjaya kerana kegemarannya kepada kasut. Seorang penulis buku berjaya kerana kerajinannya membaca buku. Di sinilah pula perlunya kesungguhan, komitmen, usaha yang gigih dan iltizam yang tinggi untuk mencapainya.

          Jadi, bagaimana mahu memulakan perubahan? Mulakan dengan membina impian yang besar dan munasabah untuk anda memperolehinya, tetapkan tempoh masa yang munasabah dan senaraikan strategi atau tindakan yang perlu untuk mencapai impian dan matlamat anda. Orang yang berjaya dalam apa bidang sekalipun bukanlah orang yang bijak pandai atau mempunyai kelulusan tinggi, tetapi mereka melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa walaupun menempuh kegagalan. Lebih banyak cabaran dan lebih banyak kegagalan yang mereka hadapi, sebenarnya makin dekat mereka dengan kejayaan.

         Kejayaan tidak bergantung kepada nasib atau luck, tidak datang bergolek atau datang melayang. Ia mesti dicari, dikejar dan diusahakan. Kejayaan adalah suatu pilihan hidup yang mampu dimiliki oleh sesiapa jua. Ia adalah pilihan. Dan kejayaan memang berada di tangan kita. Kitalah yang menentukannya.Dan yakinlah bahawa anda mampu menggenggam kejayaan itu dalam dakapan anda. Salam kejayaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.