Wednesday, November 10, 2010

Siri Kuasa Perubahan


Perkara 3
Memahami Erti Sebuah Kejayaan

         Semua orang mahukan kejayaan. Dan tidak ada seorang mausiapun yang mahukan kegagalan apa lagi terperangkap dalam kesusahan dan kemiskinan yang berlarutan. Kesenangan dianggap sebuah kejayaan. Tanyalah kepada sesiapa sahaja, jawapan mereka sama iaitu "saya mahu berjaya".

          Chef Wan pernah berkata "Saya hanya melakukan perkara yang paling saya suka!" katanya kepaada seorang wartawan yang mewawancara kisah kejayaan tukang masak tersohor itu.
              Beliau mencapai kejayaan besar dalam hidup apabila mula melakukan perkara yang amat diminatinya iaitu memasak. Walaupun beliau pernah menjadi akauntan dan mempunyai ijazah perakaunan tetaapi akhirnya beliau sedar beliau perlu melakukan perkara yang amat diminati dan dicintainya.

          Kesempatan muncul ketika Chef Wan melanjutkan pengajian di Australia. Kehidupannya ketika itu sangat perit kerana di samping belajar, beliau terpaksa mencari wang untuk membiayai pengajiannya di samping mengirimkan wang belanja untuk menyara kedua orang anaknya yang berada dengan bekas isterinya di Malaysia.

          Bagi mencari wang, Chef Wan bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Sydney. Ketekunan dan kesungguhannya bekerja telah menambat hati pemilik restoran itu untuk menawarkan kepada beliau bekerja sebagai pembantu chef pula. Beliau menerima tawaran tersebut dan setahun kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian dalam bidang masakan dari California Cullinary Academy.

          Kehidupan yang perit untuk membiayai pengajian dan anaknya ketika itu memaksa Chef Wan mengorbankan masa rehatnya bagi mancari wang. Beliau berusaha mendapatkan kerja sambilan di Fairmont Hotel tetapi sebagai anak Malaysia, permit kerja adalah sesuatu yang sukar untuk diperolehi ketika itu. Beliau terpaksa merayu dan melalui kesukaran yang amat sangat untuk mendapatkan permit kerja. Beliau juga pernah bekerja sebagai tukang kebun di kawasan sewaannya.

           Tetapi hari ini, Chef Wan dianggap seorang chef bertaraf antarabangsa yang sangat berjaya. Beliau sering diundang untuk pelbagai program TV tempatan dan luar negara. Kejayaan Chef Wan tidak dicapai dengan mudah. Beliau melalui keperitan hidup di luar negara, dipandang rendah kerana berbangsa Melayu dari Asia dan kegagalan rumahtangganya di samping terus menyara kedua orang anaknya. Tetapi beliau berjaya mengatasi segala cabaran dengan melakukan apa yang diminatinya.

          Datuk Azlina Che Abdullah, pengasas dan pemilik jenama D'Navechee dan De Classic Life(DCL) pernah berkata "Bagi saya, apa pun yang kita lakukan perlu yakin dan memahami apa yang anda mahukan. Tetapkan matlamat kejayaan yang kita mahukan dan fahamilah cara dan strategi untuk mencapainya. Kemudian fokus dan bertindaklah untuk mencapai matlamat anda. Pedulikan tanggapan orang lain, yang penting kita majukan diri sendiri dan buktikan kita boleh melakukannya".
         
          Kejayaan adalah suatu pilihan. Kejayaan dan kecemerlangan adalah impian semua orang. Tahap dan makna kejayaan bagi setiap orang adalah berbeza berdasarkan matlamat yang ditetapkan. Tetapi ia boleh dicapai sekiranya kita memahami apa yang kita mahukan dan bertindaklah untuk mencapainya. Salam kejayaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.