Sunday, September 12, 2010

Rayuan Simpati BangsaKu

         Salam, hari raya ke tiga hari ini. dua hari tak berkesempatan melayari blog. Kesibukan menguruskan kesibukan hari raya membuatkan aku tidak berpeluang untuk melihatnya. Pagi ini seperti masih bulan Ramadan, jam 4.45 pagi aku sudah tersedar dari tidur. Ketika masih tidak sibuk pagi ini, aku mengambil notebook ini. Kerinduanku terubat. Ada pelbagai perkara untuk aku kongsikan dengan warga Taipan semua.

          Aku ingat seminggu sebelum hari raya, aku dan suami menerima banyak sms. Ada yg aku kenal dan ada dari yang aku tak kenal. Ada yang aku terima dari orang yang ku kenal tapi sms asalnya dari orang yang ku tak kenal. Mereka berhajat. Mereka meminta. Mereka merayu. Mereka berduka. Dengan pelbagai cerita dan kisah yang semuanya menyayat hati. Tambahan pula pada suasana orang bergembira tetapi sms mereka begitu sedih.

          Mereka mahu meminjam wang. Ada yang baru ditinggalkan suami hilang entah ke mana. Anak di lur ada lima orang, di dalam kandungan kembar pulak, selalunya mereka mencari rezeki dengan menjual air tebu, tetapi tiba2 je suami lari sejak dua bulan lalu.

        Ada pula yg berasal dari Kedah. Dia mengenali ku tapi aku kurang perasan. Langsung tak ingat. Anaknya 8 orang, bekerja di pasar borong tapi sekarang sudah tak berkerja kerana penyakit scarbis, kakinya berkudis dengan bengkakan yang teruk. Isterinya pula menderita sakit buah pinggang. Memang susah!! Rayuan dalam smsnya memilukan hati sayuku.

         Satu lagi sms dari orang yang ku kenal, selalu juga ku bantu sebelum ini. Aku tahu keperitannya, aku selalu dengar kedaifannya, aku selalu lihat kemiskinannya. Ada waktu ku bawa anak-anak bertuahku yang empat orang itu supaya mereka sedar betapa beruntungnya mereka. Aku bawa Aimi, Adib, Irah dan Aisyah melihat pondok buruknya, tempat berlindungnya, tempat makan tidurnya, beg sekolah anak-anaknya....usahkan bermimpi nak beraya dengan baju baru kasut baru, nak makan sehariannya pun belum tentu.

          Ada juga yang nampak senang, ada kereta ada rumah yang selesa, ada kehidupan yang nampak sempurna,,, tapi rayuannya menginsafkan ku. Kesenangan, rezeki, kemewahan dan pelbagai anugerah untuk kita memang pinjaman segalanya. Dia pernah hidup susah, kemudian hidupnya senang selepas dia berusaha,  bagaimanapun dia kembali susah dalam kesenangan. Mengejutkan juga, walaupun aku lihat dia serba ada, tetapi hakikatnya wang langsung tiada. Katanya jika aku tak menghulur, alamatnya tidak berayalah mereka sekeluarga.

         Aaah...rata2 bangsa ku masih susah, masih tak cukup, masih banyak yang tak berwang, masih banyak yang daif dan miskin. Masih banyak yang terpaksa meminta, merayu dan memohon simpati. Mahu makan sesuap nasipun masih terpaksa berhutang dan meminjam, apa lagi untuk perkara yang lain. Tentu pasti pendidikan anak-anak juga jauh ketinggalan, hidup serba tiada. Akan majukah bangsaku, akan senangkah bangsaku. Bolehkah bangsaku meneroka dunia, bolehkah bangsaku mewarisi negara, mampukah bangsaku bersaing dengan yang lain, mampukah bangsaku membantu bangsaku???

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.