|
Hampir 45 orang hadir...sungguh bermakna |
Kali ke 7 sejak 1988, pertemuan pagi semalam menghimpunkan hampir 45 orang rakan2 termasuk keluarga dari SRK Sri Suria dan Sek Men Dato' Mahmud Paduka Raja yang lahir tahun 1966, 1965 dan 1967. Terima kasih kepada Saudara Zuraimi Ismail yang sejak dahulu sentiasa berusaha untuk menggerakkan program ini. Terima kasih juga kepada Saudara Razali Kassim yang berusaha menyediakan tempat di dewan PPD Tanah Merah untuk perjumpaan ini.
|
Anak bujang Norliza dan anak gadis Zarina turut hadir |
|
Anak-anak Saudara Wan Zulkfli tidak ketinggalan hadir
bersama. Di belakang pula isteri Saudara Mohd Fauzi |
Agak tergesa-gesa, tiga hari sebelum hari raya barulah program ini dirancangkan. Mungkin itu sebabnya kenapa tak begitu ramai yang hadir. Pasti lebih ramai yang akan hadir jika ia diatur dan dirancang lebih awal. Pun begitu, ia berjaya mengembalikan nostalgia yang membangkitkan ilusi tersendiri yang begitu indah di zaman sekolah rendah, kemudian menginjak ke sekolah menengah sebagai remaja yang makin nakal,berani dan ingin mencuba segalanya.
|
Pn Norliza Mat Salleh dan Pn Zarina Mohd Zin
serta keluarga |
|
Cikgu Saiful Bahari Zainal |
Begitu pantas masa berlari. Begitu cepat waktu berlalu pergi. Ada yang sudah tidak berjumpa berpuluh tahun lamanya. Ada juga yang sudah tidak mengenali maklum semuanya sudah masuk 4Series. Ada yang masih segak tak dimamah usia, ada yang sudah berambut putih, ada yang sudah punya anak dewasa, ada yang masih mempunyai anak kecil, ada yang masih bersendirian malahan ada juga yang telah kembali menemui Tuhan Pencipta
|
Bagai satu keluarga besar |
Kehadiran kali pertama Mohd Sanadi Mohd Noor, Mohd Nadzri Hamzah, Kamarulzaman Mamat dan juga Wan Zulkfli Wan Setapa menghangatkan suasana. Agak terkilan juga kerana hanya tiga orang sahaja perempuan yang hadir iaitu Norliza Mat Salleh dan Zarina Mohd Zain selain aku sendiri. Pun demikian, kemesraaan dan silaturrahim berbunga indah dengan kehadiran bersama isteri dan anak-anak Wan Zulkfli, isteri Mat Fauzi Mohd Noor, Farina iaitu isteri Mohd Nadzri serta isteri dan anak-anak Mohd Sanadi. Alhamdulillah, mudah-mudahan hubungan murni ini akan berpanjangan sampai bila2.
Satu demi satu nostalgia lama diimbau, dibongkar, dikongsi dan dibangkitkan kembali. Maka serentak dengan itu juga peristiwa2 lucu, takut, gembira dan duka datang silih berganti di benak fikiran sendiri. Antara ingat dan lupa, antara kabur dan nyata, antara tidak dan ya, semuanya bersatu menjadi sembang gembira yang berjaya mengikat hati dan jiwa. Berjaya pula mengungkap indahnya kenangan lama yang mengusik jiwa di zaman kanak2 dan remaja puluhan tahun yang lalu.
|
Bersedia untuk sesi fotografi |
|
Seronoknya...meskipun berjumpa hanya seketika tetapi mampu
mengimbau kenangan yang mengusik rasa |
|
|
Sambil berbual, bersembang dan bercerita, tetamu dihidangkan dengan menu roti jala, mee hoon goreng dan mee hoon sup. Ramai juga yang mengambil peluang mengambil gambar, bertukar2 idea. Majlis berakhir dengan sesi bergambar. Insyaallah, mudah-mudahan masih diberi ruang dan kesempatan untuk berjumpa lagi. Meskipun tak lama, indahnya tetap terasa. Meskipun hanya seketika, manisnya meresap ke jiwa. Meskipun tidak lama, pertemuan indah pagi tadi berjaya mengusik kenangan lama. Alangkah indahnya jika ia dapat menghimpunkan lebih ramai rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang sama-sama meniti keindahan zaman kanak-kanak dan menempuh gelora zaman remaja.
Jika ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Jika ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi.
Dengan janji untuk terus memberikan komitmen andai majlis ini diadakan lagi pada masa akan datang, majlis pertemuan indah pagi semalam selesai dengan penuh rasa syukur. Terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua yang hadir di majlis indah yang cukup bermakna. Salam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.