Tuesday, September 14, 2010

Terkejut....Demikian Kesudahannya

Pengajaran untuk kita semua
           Sejak subuh semalam, berita gempar di seluruh negara apabila usaha mengesan kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya, wanita jutawan kosmetik, akhirnya menemukan mayat pengasas dan pakar kosmetik itu berserta tiga yang lain yang turut hilang bersama beliau. Menurut polis, mereka dibunuh, mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjung Sepat berhampiran Pantai Morib.

          Beliau seorang wanita hebat. Sosilawati bangkit dari sebuah keruntuhan dan kegagalan. Pernah  menjadi penoreh getah, kerani dan jurujual produk kecantikan orang lain dari rumah ke rumah sebelum memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Tiada alasan yang mampu diberi oleh wanita gigih ini. Selepas kegagalan rumahtangganya, beliau bangkit bermula sambil membela enam orang anak kecil. Tanpa pendidikan tinggi, tanpa pengalaman dan tanpa sijil berjela, beliau hanya mempunyai impian untuk berjaya mengubah nasib diri dan keluarga. Berkat kegigihan, ketabahan da keikhlasan, beliau berjaya membina rangkaian perniagaan kosmetiknya dengan nilai ratusan jutaan ringgit.

          Difahamkan, bangunan baru empat tingkat yang dinamakan Wisma NV bernilai RM15 juta di Cyberjaya telah dibuka awal tahun ini sebagai mercu tanda kejayaan dan kebanggaan sempena genapnya 15 tahun NV berada di pasaran. Datuk Sosilawati dikatakan mempunyai nilai kekayaan RM100 juta.

         Emosi kita diheret pilu dengan kejadian tragis ini. Dalam suasana meriahnya aidilfitri, simpati masyarakat terhadap kejadian maha dahsyat terhadap wanita hebat ini menghiris hati manusia yang normal. Begitu juga kepada tiga lagi mangsa yang turut dibunuh kejam itu.  Kesudahan hidup yang begitu tragis...Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Apapun marilah kita berdoa agar mereka mendapat gantian terbaik di sisi Allah atas apa yang berlaku. Al Fatihah

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.