Friday, May 20, 2011

Di Hening Malam

Waktu menunjukkan jam 4.45 pagi.
Hening malam. Sunyi dan sepi sekali.
Aku tersedar jam 3.15 pagi.
Pusing kiri pusing kanan, mata tak mahu lelap juga.
Bingkas bangun, membersihkan diri.
Aku bersujud pada Ilahi.
Di keheningan malam sunyi,inilah masa untuk Tuhan.
Bersolat, berdoa, memohon ampun, bertaubat, memohon hajat, berzikir, mengaji, dan bersujud syukur atas segala
anugerah dan nikmat yang tidak terhitung banyaknya.

Terlalu banyak nikmatNya.
Terlalu sedikit amalku.
Terlalu besar anugerahNya.
Terlalu sedikit syukurku.
Terlalu banyak pemberianNya.
Terlalu banyak keluh kesahku.
Terlalu besar kurniaanNya.
Terlalu banyak pula rungutanku.
Terlalu banyak yang Engkau beri.
Terlebih banyak pula yang aku minta daripadaMu.

Wahai Allah
Aku bersyukur, masih diberi taufik dan hidayahMu.
Aku masih diberi banyak ruang dan masa terluang
untuk berfikir tentang keagunganMu.
Masih mampu berdiri dan duduk bersujud memohon keampunanMu.
Kaki dan tanganku masih kuat untuk bekerja dan mencari rezeki.
Tulang empat keratku masih kuat untuk aku
ke hulu ke hilir mencari pemberianMu.
Mata ku masih mampu melihat dengan jelas setiap indahnya dunia berbanding mereka yang telah hilang pandangan mata.
Telingaku masih kuat mendengar bunyi2 di sekelilingku.
Tekakku masih kuat berselera menjamah hidangan rezekiMu yang terbentang di hadapan mata.
Lidah ku masih lancar untuk menutur kata bagi memberikan
semangat dan menyampaikan perkara yang baik kepada
orang lain di sekitarku.
Fikiranku masih cerdas berfikir dan menimbang baik dan buruknya
semua yang berlaku di dunia ini.
Badanku masih sihat walafiat untuk ku manfaatkan bagi menjadi manusia yang mampu memberi kebaikan kepada orang lain.

Imanku masih kuat berpegang kepada ajaranMu meski asakan2 baru datang silih berganti untuk mengheretku menjauhi hidayahMu.
Aku masih merasai nikmat ketika mengaji dan
mengalunkan ayat2 suciMu.
Aku terasa masih terikat dengan panggilan azan yang dilaungkan
oleh bilal untuk berjemaah di masjid dan surau apabila tiba waktunya.
Aku juga semakin terasa dekatnya panggilan penamat hayat berpisahnya roh dan jasad untuk berpindah ke alam barzakh.
Aku masih mempunyai keinsafan untuk membuat persediaan
menghadapi maut jemputanMu.

Aku juga bersyukur kerana masih dikurniakan nikmatnya hidup
berkasih sayang dengan orang lain.
Aku masih mempunyai suami yang cukup baik yang
menjadi teman setia susah senang hidupku sejak 21 tahun yang lalu
berbanding orang lain yang sudah ketiadaan suami tercinta.
Aku bersyukur diberi pinjam oleh Allah SWT rahim yang subur untuk ku mengandung dan melahirkan empat insan pilihanMu
yang menjadi anak2 permata hatiku
berbanding orang lain yang tidak mempunyai cahayamata.
Aku juga masih mempunyai ibu solehah yang sentiasa menjadi
sumber inspirasi dan rujukanku untuk membina daya kekuatan diri menghadapi hidup penuh pancaroba ini.
Aku masih mempunyai 11 orang saudara kandung sedarah sedaging yang
sentiasa mengambil berat, menyayangi dan mengasihiku.
Aku juga bersyukur mempunyai teman2 seperjuangan
yang baik dan sentiasa positif yang sama2 merasai
susah senang berjuang di Taipan 181.

Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah.
Ampunkanlah segala dosa2ku.
Ampunkanlah segala kelalaian, kecuaian dan kealpaanku.
Ampunkanlah segala kejahatan dan amal burukku.
Jangan Engkau cabut hidayah yang telah kau berikan kepadaku dengan tarikan2 dunia yang berkilauan sehingga aku lupa asal usulku.
Bimbinglah aku untuk mendapat reda dan kasihMu
sehingga hujung hayatku.
Jangan Engkau alpakan aku dengan segala nikmat kebendaan di dunia
yang bersifat sementara.
Segala puji bagi Allah yang melengkapi nikmatMu
dan membalas limpah kurniaNya.
Wahai Allah, bagiMu segala puji2an sebagaimana kemuliaanMu,
yang sangat besar pemerintahanMu.
Wahai Allah, jadikanlah aku sebagai orang yang banyak bersyukur.
Jadikanlah aku kecil dalam pandangan mataku dan
besar dalam pandangan mata orang lain.
Dan segala puji milik Allah, tuhan sekelian alam.
Amin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.