Wednesday, February 2, 2011

Penantian Seorang Mama...

Anakku Mohd Adib di Cairo, sehingga saat ini masih tidak dapat dihubungi.
Dari pagi sampai malam, malam sampai pagi aku berusaha untuk menghubunginya telefonnya dengan pelbagai cara. Telefonnya berdering tetapi barangkali kerana kacau bilau, maka bersimpang siur sekali.
Aku dapat mendengar suara lelaki arab yang menjawab, kemudian wanita suara wanita bertempik. Bila dail lagi sekali, suara orang lain pula yang menjawab. Begitulah seterusnya. Aku yakin Adib juga sedang berusaha untuk menghubungiku, beberapa kali deringan telefonku berbunyi tetapi bila dijawab, tiada suara yang kedengaran kecuali bunyi bising yang riuh rendah. Hati kecilku kecut.
Ya Allah hanya Engkau yang mampu menyelamatkan anakku.

Dalam jam lapan malam tadi, aku cuba menghubungi nombor kawannya Mohd Akmal, ya boleh bercakap dengan Akmal tetapi katanya Adib di tingkat 4 asrama sementara dia di tingkat 1. Bila aku meminta bercakap dengan Adib, katanya dia tak berani untuk naik ke tingkat atas dan tak boleh keluar kerana membuka pintu asrama juga sangat membahayakan. Mereka berada dalam keadaan serba ketakutan. Bila aku ingin bertanya lebih lanjut, talian terputus dan sehingga kini masih berusaha untuk menghubunginya.

Aku banyak kali menghubungi Wisma Putra, ternyata "indah khabar dari rupa". Taliannya langsung tidak dijawab, apa lagi untuk mendapatkan info atau maklumat terkini.
Aku hanya mendapat info dari berita di TV, akhbar harian, blog Nurul Nadia...Krisis di Mesir, Selamatkan Rakyat Kita.
Juga daripada saudara mara dan ibu bapa yang mempunyai anak di sana.

Hati keibuanku begitu tersentuh. Baru ku faham erti penantian....
Adib, telefonlah mama segera andainya mempunyai ruang.

Aku menghubungi Ustaz Yusof tetapi katanya jika dibeli tiket penerbangan sekalipun, pelajar2 Al Furqan tidak mungkin dapat keluar dari rumah masing2 kecuali dengan kawalan keselamatan dan campurtangan pihak berkuasa, apabila aku menyatakan kesediaan untuk menyediakan wang sendiri bagi membawa pulang dengan usaha sendiri.

Oh alangkah cemas dan risaunya hati seorang ibu....
Laporan dari internet menambahkan kerisauanku...tiada bekalan air, bekalan elektrik terputus sama sekali,ketiadaan bekalan makanan, makanan yang ada dicatu, rompakan, rusuhan, lumpuhnya sistem dan pasukan keselamatan, kedai dan bank dipecahmasuk, setiap orang memegang pisau dan senjata untuk menjaga keselamatan diri sendiri.

Ketika mengiringi pemergian Mohd Adib ke Egipt di KLIA pada Oktober yang lalu selepas bercuti hari raya Aidil Fitri.
Adib jauh lebih besar berbanding abah walaupun usianya masih belasan tahun.
Bersama kakak sulungnya Nor Aimi, makan malam sekeluarga sehari sebelum bertolak pulang ke Cairo Oktober yang lalu.
Tak berenggang Aisyah dengan abangnya sepanjang Adib pulang bercuti pada raya puasa yang lalu.

Oh hati keibuku benar2 diuji di saat ini.
Tidak sekuat mana rupanya diri ini. Aku menjadi begitu pasrah.
Pada Allah jua ku serahkan segalanya. Apa lagi yang mampu aku lakukan kecuali mengadu padaMu yang maha mengetahui. Tidak putus doa dan harapanku agar anakku MOHD ADIB segera dan selamat kembali ke pangkuan keluarga.
Aku juga pasti bahawa perasaan yang sama sedang melingkari perasaan dan fikiran setiap ibu dan bapa yang mempunyai anak yang berada di Mesir terutamanya di Kaherah dan Iskandariah.

Solat hajat dan doa anda semua juga amat dialu2kan. Semoga ganjaran pahala jua yang Allah berikan kepada sahabat sekelian.
Salam.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.