Monday, November 8, 2010

Siri Kuasa Perubahan


Perkara 1
"AKU BOLEH BERUBAH"
         
          Allah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, mengajar dan memeliharanya, kita pula diperlengkapkan dengan segala potensi diri yang sangat luar biasa melalui pendengaran, penglihatan dan akal fikiran.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan sebagai manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah..." (Surah Al Imran ayat 110)

         Perkhabaran di atas memberikan anjakan hidup yang besar andainya kita mengambil iktibar dan ia mampu mencetuskan perubahan mental, fizikal, emosi dan spritual dalam hidup kita. Perubahan hidup diingini oleh semua orang untuk menjadi lebih baik.

         Bagaimanapun definisi kejayaan tidak pernah sama bagi dua orang yang berbeza, tetapi cara untuk menuju kejayaan adalah sama.Untuk sampai ke puncak anda boleh naik dengan pelbagai cara, tetapi apabila kita sudah berada di puncak, pandangan ke bawah adalah sama sahaja.
        
        Memberi makna kejayaan adalah suatu yang subjektif. Seorang yang pernah terlantar sakit menganggap kejayaan selepas dia sembuh dari penyakitnya. Kejayaan memiliki pendapatan RM100 000 sebulan bukan lagi kejayaan bagi Bill Gates. Kejayaan adalah perubahan. Kemenangan adalah perubahan. Jutawan adalah perubahan. Kesihatan adalah perubahan. Dan sepanjang perubahan, semuanya akan selari dengan matlamat yang diingini.

          Membuat perubahan walaupun sedikit memberi kesan yang sangat besar dalam jangka masa panjang. Seorang perokok akan menikmati kesan besar untuk keseluruhan hidupnya jika hari ini dia membuat keputusan untuk berhenti merokok. Itu adalah juga suatu kejayaan.
       
          Berjaya boleh diukur dalam banyak perkara seperti peluang, wang ringgit, pencapaian, penganugerahan, kemenangan dan kepuasan hati. Kejayaan terletak kepada diri sendiri. Dan untuk mencapai kejayaan, semuanya memerlukan perkara yang sama antaranya berusaha dengan gigih, rajin, tidak berputus asa, bijak merancang dan melaksanakan apa yang telah dirancang.

          Di sinilah letaknya kuasa perubahan yang paling penting. Diri anda sendirilah yang akan memberikan erti kejayaan yang anda mahukan dalam hidup anda. Buat perubahan sedikit demi sedikit jika anda mahukan kejayaan. Tetapkan apakah matlamat yang anda inginkan dan buatlah perubahan untuk mencapainya. Merancang dan kemudian bertindaklah. Jangan berputus asa jika matlamat anda tidak tercapai dalam tempoh yang ditetapkan. Teruslah berusaha dengan gigih.

              Tanamkan tekad bahawa diri anda yang terbaik. Diri anda yang terhebat. Yakinlah bahawa "Aku boleh berubah". Salam kejayaan

      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.