Tuesday, November 16, 2010

Pengalaman Memulakan Hidup Sendiri

          
          Salam, selamat datang ke ruangan "Meniti Puncak Jaya", kisah dan perkongsian hidup kami. Ketika mula-mula berkahwin dahulu, aku masih belajar di UM, lebih kurang enam bulan sebelum tamat pengajian. Nak buat macam mana, jodoh sampai awal. Itu pun dah bertunang lebih tiga tahun sejak tahun pertama lagi. Bukan pilihan sendiri tetapi pilihan keluarga. Alhamdulillah dah 21 tahun usia perkahwinan kami sejak 1989.         
         Masa itu Dzul sudah bertugas sebagai guru di Pekan Pahang. Setiap minggu atau dua minggu sekali Dzul akan turun ke KL atau aku pulang ke Pekan untuk berjumpa. Naik bas turun bas dah biasa sangat bagi kami. Belum ada kereta,motor pun tiada. Dzul hanya berbasikal, apa lagi budaya di Pekan memang berbasikal baik cikgu, kerani, lawyer, pegawai tinggi atau pegawai rendah. Ia bukan yang janggal bagi penduduk Pekan. Dzul menginap di kuaters guru sekolah Cina. Ada 4 unit berderetan rumah kayu. Namanya saja kuaters, tetapi tak ada toilet dan bilik air. Jika nak mandi atau ke tandas, gunalah kemudahan sekolah yang berada dalam kawasan yang sama. Selepas aku tamat pengajian dan mula posting di sana, baru pihak sekolah buat bilik air untuk kuaters tersebut.
          Aku ditugaskan mengajar di Sek Men Ahmad Pekan, pergi ke sekolah hanya berjalan kaki lebih kurang 10 minit perjalanan. Tidaklah jauh sangat. Hujung minggu, kami berjalan sekitar Pekan, dikenali juga sebagai Bandar Diraja. Padang Polo terletaknya istana Pahang, di sinilah juga tempat Sultan Pahang bersemayam. Walaupun hanya berbasikal, kami bahagia.
          Aku mengajar subjek geografi sejak mula posting. Ramai anak2 muridku yang sudah berjaya. Hanan adalah seorang pakar jantung di Hospital Ampang Puteri, Ibtisam seorang pilot MAS, Rohayu seorang jurutera minyak, Razlan memiliki firma guaman sendiri, Sanadi pula seorang akauntan dan ramai lagi. Aku tumpang bangga dengan kejayaan mereka. Itulah kepuasan sebagai seorang guru. Cukuplah!
          Selepas enam bulan bertugas, aku membeli kereta yang pertama Nissan Sunny. Hidup senang sedikit tetapi beban kewangan bertambah. Basikal kami jual. Perkahwinan kami bertambah bahagia apabila Aimi, anak sulung lahir Dis 1991. Kami berpindah dari kuaters guru ke rumah sewa di Kg Mengkasar untuk hidup yang lebih selesa dengan sewa bulanan RM150.         
          Untuk menambahkan pendapatan, Dzul mengajar tiusyen rumah ke rumah. Dapat tak banyak tetapi bolehlah menampung kehidupan, Aku pula mula berjinak2 dengan jualan langsung. Aku mula join Tupperware dan Avon. Bukan nak kaya pun cuma nak tambah duit. Di samping itu, aku juga mula menjual tudung, batik, telekung dan barang emas yang ku ambil dari Kelantan. Seronok juga, duit sentiasa ada bila kita berniaga. Bila tiba musim raya, aku menjual biskut raya yang aku ambil dari kawan di Kuantan. Memang laris tetapi untung tak banyak. Di hujung minggu, aktiviti kami selalunya ke Kuantan untuk mengambil kain batik dan tudung yang sampai dari Kelantan dengan bas. Berniaga barang emas pun seronok, pelangganku hanya cikgu2 kawasan sekitar, mereka buat bayaran ansuran. Kawan pun makin ramai. Tupperware dan Avon pun tak kurang hebatnya, hampir setiap minggu ku susun jadual 'home party' untuk meningkatkan jualan di samping mengekalkan pelanggan yang sedia ada. Petang Sabtu aku menghadiri meeting di Kuantan untuk belajar tentang produk, cara nak meningkatkan jualan, mencari prospek, membuka kaunter dan lain2. Nak berjaya mesti datang meeting dan seminar, kata Kak Mai uplineku.Sekali sekala aku ikut Kak Mai, membuka kaunter di Parkson Kuantan. Dengan pelbagai perniagaan yang aku buat waktu itu, nak kata mewah tidaklah, tetapi wang sentiasa masuk. Hidup kami agak lega dengan kos hidup yang rendah di Pekan. Kami tidak perlu menunggu gaji.
          Tugas sebagai guru adalah keutamaan. "Mesti menjadi guru yang dedikasi, mesti menjadi guru yang hebat, mesti mengajar dengan ikhlas dan mesti jujur dengan semua orang.
Jalankanlah tugas dengan penuh tanggungjawab jika mahu hidup bahagia". Ini adalah antara kata2 keramat yang sering ditanam dalam fikiranku oleh aruah ayahku, Allahyarham Hj Mohd Ali Omar, seorang bapa hebat yang pernah mendapat anugerah tokoh guru di Kelantan ketika hayatnya. Aku sudah biasa tidur lewat kerana menyiapkan pelbagai tugas rutin sebagai guru, memeriksa buku pelajar, menyiapkan buku rekod mengajar, menyiapkan alat bantu mengajar, membuat kerja2 menyiapkan laporan dan dokumen pelajar, memeriksa kertas soalan, membaca, membuat rujukan bahan, membuat soalan ujian(taip writter je) dan pelbagai tugas. Aku sukakan tugasku, aku menyenangi tugas sebagai guru dan aku seronok dengan kehidupan waktu itu.
         Semua tugas di rumah ku buat sendiri tanpa pembantu rumah. Pada hari bekerja, Aimi ku hantar di rumah jiran. Dzul pula seorang yang rajin membantu menguruskan anak, ke pasar, mengemas dan menjemur kain pun dia buat.Jika memasak, kami sama2 berada di dapur hingga selesai makan dan mengemas, kami buat bersama2. Kehidupan kami sangat bahagia.
          Selama enam tahun kami tinggal di Pekan hingga tahun 1995. Selama di sana, anak bertambah dua orang. Hidup tidaklah terlalu terdesak seperti di KL, maklum hanya pekan kecil kos hidup pun murah, wang poket sentiasa ada, kehidupan yang selesa kerana Pekan hanyalah sebuah pekan kecil. Tetapi kehidupan kami mula mengalami sedikit tekanan apabila Dzul menyambung pengajian ijazahnya di UPM Serdang. Aku masih di Pekan. Setiap minggu Dzul pulang menjenguk kami. Kos hidup bertambah dan pendapatan makin mengecil kerana Dzul tidak dapat mengadakan tiusyen lagi. Pengajiannya pula sepenuh masa dengan dibayar separuh gaji sahaja. Wang pula banyak habis kerana setiap minggu dia pulang ke Pekan. Kos pengajiannya pula ditanggung sendiri sebelum mendapat pembiayaan dan bantuan. Ketika inilah cabaran hidup mula menjengah hidup kami satu persatu. Keperitan dan kesempitan mula aku rasakan. Akan aku kongsikan seterusnya. Salam
        

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.