Thursday, November 18, 2010

Berpindah Ke Kuala Lumpur

       
           Salam, bersambung lagi catatan 'Meniti Puncak Jaya.' Apabila Dzul menyambung pengajian ijazahnya di UPM, kehidupan kami mula memasuki fasa baru. Belanja hidup semakin meningkat sedangkan pendapatan semakin mengecil. Aku mula merasa tertekan. Tabungan semakin susut, yang baru tidak bertambah. Ketiadaan suami di rumah, menyebabkan aku bagai kehilangan sebelah tangan. Segalanya terpaksa ku uruskan sendiri. Menguruskan anak-anak yang masih kecil seramai dua orang dengan ketiadaan pembantu rumah memang memenatkan. Begitu juga tugas-tugas di sekolah yang semakin menimbun, jualan Tupperware ku mula terabai, perniagaan tudung, batik dan barangan kemas mula terlepas satu persatu.

          Dzul di KL sementara aku di Pekan. Kos hidup untuk dua buah rumah, Rumah sewa dua buah, belanja dapur pun dua tak termasuk kos berulang alik setiap minggu KL  ke Pekan ke KL, semuanya menyesakkan. Kami rasa makin terhimpit. Selama tujuh bulan berkeadaan demikian. Jalan terbaik ialah aku dan ank-anak mesti berpindah ke KL.

         Rupanya berpindah di KL bukanlah suatu yang menggembirakan buat kami yang selalu kesempitan. "Indah khabar dari rupa" adalah peribahasa yang paling tepat sekali. Bayangkan, rumah teres yang kami sewa di Kajang mencecah RM550 (deposit tiga bulan) berbanding rumah sebuah di Pekan yang hanya RM150 sahaja, kos upah jaga dua orang anak kami RM450 di sebuah nursery di Taman Melor, aku pula mengajar di Taman Universiti Seri Kembangan sejauh 20 km sehala.Kerana perpindahan pula, empat bulan pertama gajiku tersangkut...masyaallah makin sesak jadinya. Naik turun pejabat JPN Pahang dan JPN Selangor menguruskan fail perpindahan untuk mempercepatkan gaji juga banyak memakan masa dan wang. Semuanya mengejutkan kedudukan kewangan kami. Apapun hidup mesti diteruskan, tak mungkin berpatah lagi.

        "Tidak ada senang datang dengan senang". Sebelum aku  mendapat gaji, kami terpaksa hidup dengan apa yang ada. Dzul terpaksa meminjam pelbagai koperasi guru untuk menampung hidup. Akalku kembali mencari ruang untuk menambah wang. Nak berniaga apa ya? Dengan ketiadaan modal, bisnes yang mampu ku buat ialah yang tidak memerlukan modal yang banyak.

         "Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang". Aku mesti bertindak jika tidak mahu lebih susah., tak boleh hanya mengharapkan gaji. Aku mula membuat pizza dan menghantar ke kilang-kilang sekitar Bangi, Kajang dan Serdang. Hampir 200 keping pizza kami hantar setiap hari. Jam 4 petang, kami ke pasar membeli bahan-bahan pizza, jam 10 malam aku dan Dzul menyediakan inti dan sosnya.  Jam 3 pagi kami dah bangun untuk membuat pizza. Macam-macam perasa ada, perasa sardin, ayam, daging, tuna, ikan dan lain-lain.  Sekeping hanya RM2. Sebelum jam 6 pagi, pizza mesti sampai ke kilang sebelum pekerja bertukar shif. Ada waktu Dzul hantar tetapi aku juga turut berbuat demikian. Pizza ku menjadi kesukaan, sebelum shif bertukar, pekerja kilang menjamu selera dengan pizza dahulu. Setiap hari habis, jam 11 pagi kami dah dapat wangnya. Pagi esok kami hantar lagi. Begitulah rutinnya. Nak ikut orang kata, aku dengar juga sindiran sinis lagi berbisa. Kawan-kawan yang mengajar perli-perli juga aku bila aku bawa pizza ke sekolah. Tetapi buat apa aku dengar cakap mereka. Bukan mereka bagi duit jika aku minta. Susah senang kita yang tahu, orang hanya pandai mengata sahaja.Aku buat pekak pada semua sindiran sinis orang.

          Selepas mendapat gaji, ku ambil pembantu rumah dari Kelantan. Dapatlah meringankan kerja-kerja rumah. Anak-anak tidak dihantar ke nursery lagi. Bila ada pembantu, langkahku lebih panjang. Sementara itu, pada setiap hari minggu Dzul bekerja di kilang elektronik di Bangi untuk menambahkan pendapatan. Sesekali dia ikut kawannya yang sama-sama belajar di UPM membuat kerja sebagai buruh seperti mengecat surau, membersihkan pejabat, mengangkat dan menghantar barang dan lain-lain. Pendek kata, apa saja yang boleh mendatangkan wang tambahan, akan kami buat.


          Aku pula mengajar tiusyen rumah ke rumah. Ada tiga buah rumah yang ku ambil, itu pun hanya hujung minggu. Semuanya anak Cina, mereka sanggup membayar upah yang mahal asalkan anak mereka mendapat yang terbaik. Selepas aku mengajar anak mereka, mereka akan bertanya lagi pada ku tentang perkembangan anak mereka. Dari situ aku belajar sesuatu dari cara keluarga Cina, mereka sangat mementingkan pendidikan anak-anak. "Duit boleh cari katanya" Duit tiusyen ku dapat dalam RM850 sebulan, bolehlah ku buat bayar kereta dan kos pembantu rumah.

          Gajiku waktu itu tidaklah banyak, dalam RM1800 sahaja. Jika aku tak buat kerja tambahan, memang sangat sempit kehidupan kami waktu itu. "Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudiaan". Apa yang aku fikirkan hanyalah untuk hidup semasa itu, jika senangpun hanya sedikit bukan sampai mewah dan kaya, apa lagi untuk mengecapi kehidupan seperti hari ini.

          Selepas Dzul tamat pengajian ijazahnya, dia menyambung pula peringkat sarjana secara sambilan di universiti yang sama. Anak kedua, Adib ketika itu sudah berusia empat tahun sementara Aimi sudah di darjah dua. Dzul ditugaskan mengajar di Sek Men Tasik Permai Ampang, aku masih di Seri Serdang. Bila Dzul mula mengajar, dia tidak lagi bekerja di kilang. Membuat piza, mengajar tiusyen dan menjual tudung serta kain masih aku teruskan. Begitu juga menjual Avon dan Tupperware serta beberapa jualan langsung yang lain.

          Waktu itu jugalah terdetik di hatiku untuk menyambung pengajian master di UPM. Kononnya untuk mencari peluang bertukar kerjaya bagi meningkatkan gaji dan kualiti hidup. Untuk tidak membebankan, Dzul menyarankan aku mengambil bidang yang sama dengannya supaya kami boleh berkongsi bahan, kelas, project paper dan ilmu yang sama.
Permohonanku diterima UPM dalam bidang yang sama dengan Dzul iaitu Bahasa dan Linguistik.

          Jadual hidupku berubah lagi. Makin padat. Tetapi hanya orang sibuk sahaja yang mempunyai masa. Jumaat, Sabtu dan Ahad, jadual pengajianku padat di UPM.  Bermakna kelas tiusyenku terganggu. Belajar secara sambilan sangat memenatkan. Mana nak fikir kerja di sekolah, menguruskan keluarga, kelas tiusyen, kerja-kerja membuat pizza dan juga pengajianku yang begitu banyak. Alahai...aku benar-benar kepenatan.

          Tetapi hanya orang yang sanggup melakukan perkara yang orang biasa tak mahu lakukan sahaja yang akan berjaya. Melakukan perkara yang sama dengan mengharapkan hasil yang berbeza adalah suatu yang mustahil. Bersambung...

         
      

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.