Monday, November 15, 2010

Mencari Bahagia...

Meeraikan ulang tahun Amsyar, anak CDM Siti Rohani.
Bersama bonda dan adik bongsu Nor,
pada perjumpaan keluarga di kampung.

         Dalam usia mencecah pertengahan empat puluhan, kehidupan yang sempurna dan bahagia hampir melengkapi hidupku. Kehidupan yang indah lebih bermakna apabila kita juga mampu memberi kebahagiaan kepada orang di sekeliling kita termasuk suami, anak-anak, ibu bapa, keluarga mertua, adik beradik, kawan-kawan rapat, jiran tetangga, masyarakat sekeliling dan lain-lain.

          Saya ingin berkongsi dengan anda, bagaimanakah cara memperoleh kebahagiaan pada usia seperti saya sekarang? Bukan menunjukkan diri hebat, tetapi hanya berkongsi rasa meluah bicara agar kita benar-benar menikmati bahagia yang selama ini kita cari.

*Berbaik-baik sesama insan
Berbesar hati, bermurah hati, mudah berkira, banyak memberi, banyak menolong adalah antara perkara baik yang mampu kita lakukan kepada individu lain yang berada di sekeliling kita. Tak perlu wang yang banyak untuk melaksanakan kebaikan. Mungkin senyuman, teguran, sokongan dan nasihat yang baik sudah memadai untuk kita berbuat baik kepada orang lain yang mampu memberi kebahagiaan kepada mereka dan pasti kepada kita juga.
          Bayangkan andainya hidup kita dikelilingi musuh atau orang yang tidak suka dengan sikap kita. Pasti kehidupan kita tidak gembira malahan sering ketakutan. Ini boleh meragut kebahagiaan. Tiada salahnya jika kita mempunyai ramai kawan kerana kawanlah yang akan menceriakan hidup kita. Kawan boleh menjadi tempat kita meluah perasaan dan berkongsi apa sahaja. Saya bersyukur kerana di usia sekarang, saya bukan sahaj mempunyai kawan-kawan yang baik, yang sehati dan sejati malahan mereka juga turut sanggup merasa susah senang bersama-sama. Mereka saling melengkapi, saling memberi dan memahami. Apa yang lebih membahagiakan saya, mereka juga adalah kawan-kawan yang sangat positif, hebat dan berjaya bersama Akademi Taipan 181.
          Saya berhasrat untuk meluaskan jaringan kawan dalam hidup saya. Alhamdulillah, melalui aktiviti setempat, kawan-kawan juga sudah bertambah apabila kami mula kerap mengikuti program Rakan Masjid, juga kawan-kawan ESQ, kawan-kawan kelas tafsir dan kitab. Rasa bahagia bertambah bahagia.

*Memiliki Simpanan Wang Yang Mencukupi
          Wang bukanlah segala-galanya tetapi tanpa wang, kita tiada segala-galanya. Pendek kata tiada wang hidup terbuang. Kehidupan yang sempurna pasti akan terjejas jika kita kesempitan wang.
          Ketika saya mula berkecimpung di dalam perniagaan ini, saya sanggup berkorban apa sahaja untuk mencapat matlamat kewangan kami sekeluarga. Meninggalkan anak-anak, meninggalkan jawatan dan pangkat, berkorban masa dan wang ringgit untuk mencapai kejayaan. Tetapi selepas kejayaan dan matlamat kewangan saya tercapai, saya mula merancang untuk jaminan kewangan yang lebih tersusun. Syukurlah, di usia sekarang, kepuasan kepada saya di dalam perniagaan ini bukan lagi wang ringgit, tetapi mahu melihat kejayaan itu dinikmati oleh rakan kongsi warga AT 181 yang lain. Kebebasan kewangan dengan pendapatan aktif dan pasif telah saya nikmati. Hidup bertambah bahagia kerana saya mampu memberi dan berkongsi banyak perkara dengan orang lain di sekeliling saya. Syukurlah.

*Menjaga Kesihatan
          Kesihatan di dalam usia sebegini adalah antara perkara yang paling penting di dalam kehidupan yang bahagia. Kesihatan menjadikan kehidupan lebih indah dan bermakna. kita tidak mampu menikmati kejayaan dan kebahagiaan hidup yang telah kita usahakan ketika muda andainya kita terlantar kesakitan di usia emas. Dengan kos rawatan yang mahal, ia boleh meragut sebahagian besar masa dan wang kita. Penjagaan kesihatan, pemeriksaan berskala, pemakanan, riadah dan aspek pemakanan tambahan sangat ditik beratkan. Oleh itu jagalah kesihatan sebaik-baiknya demi kehidupan yang lebih ceria, bermakna dan bahagia.

*Lebih berhemah dan berhikmah
          Cabaran dan masalah serta ujian hidup tetap ada di sepanjang perjalanan hidup kita sehingga kita menutup mata. Sabar, reda dan menerima setiap ujian yang datang serta menanganinya dengan penuh berhemah dan berhikmah mampu memberikan kita kebahagiaan yang kita dambakan.        
        Cubalah mengelakkan sikap suka menyalahkan orang lain serta mencari jalan penyelesaian dengan baik juga akan mengurangkan tekanan dalam hidup kita. Percayalah bahawa setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya. Setiap ujian pasti ada hikmahnya.

*Mengenali dan memahami pasangan hidup kita
         Pasangan hidup baik suami mahupun isteri adalah yang terbaik untuk kita. Kita telah mengenalinya sejak sebelum kita mengahwininya. Kebahagiaan kita akan berlipat ganda sekiranya hidup kita dilimpahi kasih sayang murni daripada insan yang paling dekat dengan kita, apa lagi andainya dia juga yang telah sama-sama berkorban untuk membina kebahagiaan ini.
          Berkongsilah apa jua rasa, masalah, fikiran dan kejayaan dengan pasangan kita. Menghargainya, mempercayainya, menghormatinya dan mengasihinya mestilah dilakukan  secara berterusan. Saling memberi dan menerima serta lengkap melengkapi akan melengkapkan lagi makna perkahwinan kita. Percayalah bahawa kebahagiaan pasti akan hadir melengkapi hidup andainya kita memahami dan mengenali pasangan hidup kita. Salam kebahagiaan


     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.